Bukannya aku tak pernah
jatuh
tersungkur
luka
masa mula berjalan dulu
Bukannya aku tak pernah
dirotan di betis
aku masih ingat
pedih sakit perit
bukan kerana rotan
tapi lebih kepada sakit malu
mana tidaknya
warden asrama kawan Abah
Bukannya aku tak pernah
menakluki tempat terakhir dalam kelas
kalau boleh
ilmu hisab sejarah sains semua ditulis merah
dan bukannya aku tak pernah
bangkit dari jatuh
bersihkan diri
jatuh lagi
Alhamdulillah mujur
punya mak abah abang kakak
yang tak pernah lelah
yakinkan aku
Allah sentiasa ada untuk orang yang sabar
biar aku jatuh buat kali yang infiniti
aku tak peduli
ini bukannya masa untuk aku berhenti
aku mahu terus jalan kalau bisa aku mahu berlari
biar jatuh tersungkur walau luka
ini ujian di bawah langit Ilahi
yang aku perlu
sabar dan yakin
Allah pasti adili usaha ku ini.
Comments
Post a Comment